Selasa, 24 Januari 2012

Faktor-faktor kemunculan negara bangsa

Views
Nama                    : Rime bin Sisal
Tingkatan              : 6A2
Bahagian               : Tamadun Dunia
Tajuk                    : Faktor-faktor Kemunculan Negara Bangsa. (soalan 8)

Pendahuluan.
Konsep negara bangsa.
                Fakta sejarah menyatakan negara bangsa merujuk kepada unit politik yang dihuni oleh rakyat yang mempunyai sejarah, budaya, bahasa pertuturan, asal keturunan dan rumpun bangsa yang sama. Istilah negara bangsa merujuk kepada sebuah negara yang bebas daripada konsep dunia empayar dan mempunyai pemerintah sendiri, bahasa kebangsaan, tentera kebangsaan, sempadan wilayah dan hak untuk menggubal undang-undang sendiri. Negara bangsa bererti berakhirnya kuasa golongan bangsawan, autonomi tempatan, dan keistimewaan-keistimewaan bersifat adat dan pengaruh gereja Katolik rom. Dengan kemunculan negara bangsa, legitimasi politik adalah atas kehendak rakyat dan bukan kepada kuasa hak suci. Negara bangsa di Eropah terbentuk melalui kemunculan dinasti, keluarga baru, perkahwinan keluarga raja, dan konsep empayar.

                Faktor utama yang membawa kepada pembentukan negara bangsa adalah daripada kemunculan Gerakan Renaisans. Gerakan Renaisans menyebabkan orang Eropah mempersoalkan budaya lama dan ingin pembaharuan. Perkembangan ini mendorong raja melakukan pembaharuan dalam bidang pentadbiran bagi mendapat sokongan daripada rakyat.

                Selain itu, faktor keruntuhan sistem feudal turut menjadi faktor kemunculan negara bangsa. Keruntuhan sistem feudal menyebabkan pengaruh golongan bangsawan merosot. Kedudukan raja semakin kukuh dan rakyat mula menumpahkan taat setia kepada raja. Perkembangan ini melahirkan asas yang kukuh bagi kelahiran negara bangsa,

                Pada akhir zaman pertengahan, berlaku perkembangan pesat dalam bidang pertanian, perdagangan dan perindustrian. Perkembangan ini menyebabkan pedagang dan pengusaha memerlukan perlindungan daripada sebuah kerajaan pusat yang kukuh. Kedudukan kewangan yang kukuh menyebabkan raja menggaji tentera dan pegawai perkhidmatan awam untuk memberi perlindungan kepada golongan kelas menengah.

                Pada masa yang sama, raja memberi kebebasan bahasa dan mewujudkan bahasa kebangsaan bagi memperoleh sokongan kelas menegah. Penggunaan bahasa kebangsaan melahirkan semangat kebangsaan yang kukuh. Buku-buku yang ditulis dalam bahasa pertuturan sesuatu masyarakat dan bukan dalam bahasa latin. Penggunaan bahasa kebangsaan mempercepatkan usaha pembentukan negara bangsa.

                Pemberian gelaran dan anugerah juga menjadi faktor kemunculan negara bangsa. Raja memberikan anugerah dan gelaran seperti duke, earl, baron dan count kepada golongan bangsawan. Tujuan pemberian anugerah adalah bagi mengawal tindak tanduk golongan bangsawan dan mendapatkan taat setia golongan ini.


                Pada zaman pertengahan, golongan gereja amat berpengaruh dan mereka menguasai kekayaan dan harta. Pengaruh golongan gereja mengancam kedudukan raja. Raja mengambil langkah mengukuhkan kedudukan dengan memberi peluang kepada golongan cendekiawan dan rakyat biasa memilih pemimpin gereja.

                Kesimpulannya, faktor-faktor di atas adalah mangkin yang membawa kepada kemunculan negara bangsa. Hasilnya wujudlah negara bangsa yang terkenal seperti negara bangsa England, Perancis, Sepanyol dan sebagainya sehingga berkembang menjadi empayar yang kuat.

Terima kasih kerana sudi membaca entri kuihkosoi. kalau suka.. silakan like

3 ulasan:

copyright© 2012. All Right Reserved by Kuih Kosoi